Anak perlukan pujian dari ibu bapa

Oleh Sharifah Norhayati Syed Omar

SESEORANG ayah perlu membawa anak-anak mereka berdating bersama. Anak-anak memerlukan kata-kata yang cantik dan indah daripada ibu dan bapa mereka. Ibu bapa hendaklah banyak memuji anak mereka dan bukan mengherdik dengan perkataan bodoh atau sebagainya.

“Itu sebablah jika Mat Bangla atau Mat Indon memuji anak gadis, maka dengan mudah mereka akan mengikut Mat Bangla atau Mat Indon ke mana sahaja kerana terpesona dengan pujian, sedangkan ibu bapa mereka sendiri tidak pernah memuji kecantikan atau kelebihan yang mereka ada.

“Jika ibu bapa sentiasa memuji anak mereka cantik, mereka tidak akan teruja hingga membawa masalah jika ada orang lain mengatakan mereka cantik dan cuba mengambil kesempatan,” demikian nasihat selebriti terkenal, Wardina Safiyyah ketika memberikan motivasi pada program “Cantik Di Mata Indah Di Hati Khas Untuk Belia Wanita” di Dewan Flat Keramat Pangsa, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.

Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Adun Hulu Kelang dengan kerjasama Beliawanis Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan Nisa’ Hulu Kelang itu diadakan dalam keadaan santai dan menarik. Ia bertujuan untuk memberikan suntikan dan motivasi kepada belia dan wanita agar memberikan perhatian kepada pembangunan kekuatan diri dan kecantikan dari dalam diri.

Pengalaman Wardina dalam bidang pengacaraan menjadikan program itu menarik, termasuk cara beliau berinteraksi dengan hadirin. Kata-katanya yang turut diselitkan dengan aksi lucu tetapi tegas serta banyak pengajaran yang boleh diambil menyebabkan hadirin lebih fokus dengan setiap kata-kata beliau.

Menurut Wardina, kita perlu mengajar anak remaja kita cara bercinta yang betul. Ibu bapa mesti menerangkan kepada anak mereka sekiranya ada lelaki yang mencintai mereka agar tidak membenarkan dia menyentuh mereka selagi mereka tidak dinikahkan dengan sah. Sekiranya lelaki itu menyentuh mereka walaupun sedikit, ia bermakna lelaki itu sebenarnya tidak menghormati, menyayangi atau mencintai mereka. Sebaliknya, lelaki itu menghina mereka.

Mencintai hendaklah dimulakan dengan mencintai diri sendiri. Jika kita tidak menyayangi dan menyintai diri sendiri menyebabkan kita akan terhegeh-hegeh minta orang menyayangi kita.

Cara kita menyayangi diri sendiri dengan menjaga kesihatan diri, merasakan kita ini insan yang berguna, cantik, istimewa dan jangan merasa rendah diri walaupun orang lain tidak menyayangi kita.

Wanita juga hendaklah sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan terutama pemeriksaan payu dara, tetapi ramai wanita yang mengabaikannya hingga akhirnya ada antara mereka menderita atau mati akibat barah payu dara.

“Manusia perlu sentiasa memperbaharui diri dengan mengisi minda dengan ilmu seperti menghadiri program-program bermanfaat, usrah, kuliah dan sebagainya kerana manusia perlu belajar perkara baharu setiap hari agar minda tidak kosong dan seterusnya akan menaikkan harga diri.

“Wanita hendaklah sentiasa berfikiran positif untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan, tetapi kita perlu kreatif dalam menyelesaikannya,” katanya.

Kepada yang beragama Islam, Wardina menasihatkan mereka agar sentiasa menjaga solat dan memahami setiap perbuatan dan makna dalam solat itu sendiri.

“Mungkin ada manusia tidak suka kita meminta pertolongan dari mereka, tetapi Allah amat suka kita meminta pertolongan dari-Nya, tetapi bagaimana Allah nak memberi pertolongan jika kita sendiri tidak meminta dari-Nya.

“Manusia mestilah menanam impian agar penghidupan mereka lebih baik dari yang ada sekarang dengan berusaha dan bertawakal kepada Allah,” ujarya.

Beliau juga menyangkal bahawa cantik seseorang yang ditentukan oleh media adalah makna cantik yang sebenar.

Selain itu, beliau turut menyentuh tentang perlunya wanita menutup aurat demi menjaga kehormatan mereka sebagai seorang Islam.

“Cantik bukannya untuk dipertontonkan auratnya, tetapi cantik perlu dijaga, ditutup sebagaimana di kedai barang yang cantik atau berharga ditutup dan dijaga dengan rapi, begitu juga mutiara yang cantik di lautan sentiasa tertutup.

“Kecantikan fizikal tidak ke mana tetapi perlu disulam dengan kecantikan akhlak, kecantikan tutur kata dan kecantikan rohani,” katanya lagi.

Wardina turut berkongsi dengan hadirin kata-kata hikmat yang menjadi pegangannya, “Biarlah pengorbanan yang kita lakukan itu berbaloi dan janganlah ia memakan diri dan ingatlah tidak semua pengorbanan yang kita lakukan akan dihargai.”

Manakala Adun Hulu Kelang, Saari Sungib ketika berucap merasmikan penutupan program itu berkata, adalah penting sesorang itu berilmu kerana Rasulullah berpesan sesiapa yang hendakkan dunia mestilah dengan ilmu, sesiapa hendakkan akhirat hendaklah dengan ilmu dan sesiapa yang hendakkan kedua-duanya juga mestilah dengan ilmu.

“Rasulullah telah berpesan mohonlah kepada Allah keselamatan dan kesejahteraan kerana selepas nikmat syukur tidak ada yang lebih kemuncak daripada kesejahteraan dan Islam.

“Nikmat kita sihat juga kita tidak akan rasa kecuali kita deman atau sakit dan ketika inilah baru kita sedar akan nikmat yang diberikan Allah kepada kita,” ujarnya lagi.

Beliau berjanji untuk menjadikan khidmat kesihatan sebagai antara yang utama dalam setiap perancangan beliau di Dun Hulu Kelang.

Terdahulu, penceramah undangan dari Beauty Consultant, Rina Salleh memberikan penerangan dan cara-cara menjaga kecantikan diri kepada orang ramai yang hadir.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s