Forum “Hukuman Sebat Wanita” dapat sambutan

Oleh Sharifah Norhayati Syed Omar

HUKUMAN sebat yang dikenakan ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, begitu hangat dibincangkan oleh pelbagai pihak di tanah air kita, malah turut mendapat perhatian di luar negara.

Dalam negara yang undang-undang Islam dikanunkan seperti di Malaysia, isu seperti Kartika perlu dibahaskan dalam konteks peruntukan berkenaan.

Isu itu turut mengundang komen dan reaksi negatif daripada mereka yang prihatin dengan imej Islam, negara dan keadilan. Ada pihak mempersoalkan kewajaran hukuman ke atas Kartika yang disifatkan sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Walaupun ibu muda yang juga model sambilan itu sudah insaf atas kesalahannya meminum arak di tempat awam dan rela pula menghadapi hukuman tersebut, beberapa pihak meminta supaya dia merayu untuk mengelakkan hukuman.

Namun, apakah yang menyebabkan banyak pihak tidak bersetuju Kartika menerima hukuman tersebut?

Forum anjuran bersama Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) bertajuk “Undang-Undang Islam dan Sebat Wanita” di Bilik Senat, Aras 5, Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini memberi info, apakah wajar atau tidak hukuman berkenaan dilaksanakan mengikut Islam dan mengikut konteks perlembagaan negara yang ada sekarang?

Ahli-ahli penel terdiri daripada Profesor Madya Datin Dr Paizah Ismail (UIAM),  Profesor Madya Dr Nasimah Hussin (UIAM), Dr Jasri Jamal (UKM), manakala moderatornya Profesor Madya Datin Nor Aziah Mohd Awal ((MPWIM).

Kira-kira 300 hadirin yang mewakili berbagai-bagai NGO termasuk WIRDA dan agensi kerajaan  hadir untuk mendengar penerangan berkenaan dengan hukuman yang menjadi kontroversi itu.

Menurut Dr Paizah, menurut persepsi yang salah di kalangan masyarakat tentang sebat wanita yang dianggap lemah, timbul satu anggapan seolah-olah wanita itu teraniaya dengan hukuman sebat yang dikenakan terhadap mereka.

Sebenarnya dalam persoalan itu, tidak berbangkit masalah sedemikian kerana Islam itu bukan satu agama yang mendiskriminasikan manusia terutama dalam sesuatu hal yang melibatkan hukum.

“Di dalam Islam hukum adalah ketentuan dan peraturan  yang terdapat di dalam  al-Quran dan as-Sunnah. Untuk memahami hukum berkenaan ia adalah melalui satu proses yang dinamakan “fikh” dan ia perlu mengikut satu pemahaman yang betul metologi hukum yang sebenar. Satu proses yang terperinci di kalangan ahli pengajian hukum pula disebut “usulul fikh”.

“Berbeza dengan undang-undang, ia satu hukum yang telah diperundangkankan melalui proses perundangan. Namun sajauh mana hukum undang-undang itu menjiwai hukum Islam sebenar, ia adalah satu persoalan lain,” katanya.

Dengan itu, kita dapat membezakan antara hukum dalam Islam dan undang-undang Islam yang ada dalam negara dalam konteks yang betul.

Dr Nasimah pula berkata, hukum terbahagi kepada 3 iaitu jenayah, hudud dan qisas, sementara hukuman sebat wanita hanya dijatuhkan oleh mahkamah syariah kerana tiada peruntukan sebat terhadap wanita dalam hukuman mahkamah sivil dan sebatan yang dikenakan pula berbeza seperti dilaksanakan oleh mahkamah sivil.

“Mahkamah syariah dan bidangkuasanya seperti urusan rumah tangga, penceraian dan sebagainya telah wujud semenjak zaman sebelum merdeka lagi. Saya tegaskan di sini, Inggeris tidak pernah mengganggu tugas mahkamah syariah tetapi sekarang bukan Inggeris yang mengganggu, tetapi orang yang mengaku Islam pula telah mula mengganggu urusan mahkamah syariah.

“Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan organisasi prosedur mahkamah syariah adalah di bawah bidang kuasa negeri yang bermakna negeri mempunyai kuasa perundangan dan eksekutif, kecuali di Wilayah Persekutuan dan semua negeri mempunyai enekmen yang tersendiri seperti tertakluk dalam Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Antara kesalahan-kesalahan yang boleh dibawa ke mahkamah syariah adalah melibatkan perkahwinan. Contohnya seperti berkahwin di luar kawasan tanpa kebenaran dan penceraian, melibatkan kesusilaan, contohnya berzina, liwat,  minum arak  dan yang melibatkan aspek ibadah muslim, contohnya seperti tidak mengerjakan solat Jumaat, tidak puasa di bulan Ramadhan dan ajaran sesat.

Tiada peruntukan khusus enekmen-enekmen dalam mahkamah syariah yang boleh mengecualikan hukuman sebat ke atas wanita. Cara pelaksanaan hukuman sebat syariah juga berbeza dengan pelaksanaan hukuman sebat sivil.

Kata beliau lagi, hukuman sebat sivil adalah mengerikan, menyakitkan dan agak kejam berbanding dengan hukuman sebat syariah yang tidak menyebabkan kecederaan badan, bersifat mendidik dan menjaga kehormatan wanita itu sendiri.

Dr Jasri pula berkata, sebatan syariah enekmen akta ordinan kesalahan jenayah syariah dibaca bersama dengan enakmen akta ordinan prosedur jenayah syariah kerana prosedur itu penting, sebagaimana di civil panel code yang dibaca dengan CPCnya sekali kerana CPClah mendetailkan perkara-perkara yang berkaitan dengan umum yang ada dalam panel code.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s